TUJUAN WACANA
Sesuatu wacana perlu mempunyai tujuan bagi menimbulkan interaksi yang komunikatif. Tujuan ini akan menentukan bentuk wacana yang digunakan. Terdapat beberapa tujuan wacana yang boleh dilihat.
Menimbulkan interaksi komunikatif
Wacana yang dihasilkan bertujuan menimbulkan interaksi komunikatif iaitu antara penutur dengan pendengar dan penulis dengan pembaca. Kedua-dua komunikasi ini terlibat dengan komunikasi lisan dan tulisan. Sesebuah wacana ini bertujuan untuk memperlihatkan dua aspek utama iaitu aspek tautan dan runtutan. Kedua-dua aspek ini penting dalam pembentukan sesebuah wacana supaya teks atau wacana tersebut mempunyai makna yang jelas dan difahami oleh pembaca atau pendengar.
Tujuan dalam hubungan komunikasi antara dua hala ini penting supaya teks atau wacana yang dihasilkan oleh seseorang itu tidak menyimpang atau tidak difahami daripada makna asal teks itu dihasilkan. Penghasilan wacana yang bermakna dapat dihasilkan sekiranya seseorang penulis atau penutur dapat memahami atau menguasai dengan lebih jelas mengenai tujuan sesebuah wacana yang dibentuk. Seseorang penulis atau penutur perlulah mengetahui tujuan dalam penggunaan wacana serta menentukan jenis wacana yang hendak digunakan. Hal ini untuk memastikan wacana yang dibentuk dapat menepati tujuan sebenar sesebuah wacana atau sesebuah teks dibentuk. Tambahan pula, sesebuah wacana yang dibentuk mempunyai perkaitan antara teks yang dibentuk. Dalam konteks ini, makna terbahagi kepada dua makna, iaitu makna dasar dan makna pragmatis. Makna dasar merujuk kepada makna yang ditanggapi tanpa mengambil kira konteks, manakala makna pragmatis pula merujuk kepada makna sebenar yang berpandukan konteks tertentu.
Mendapat sesuatu maklumat
Wacana juga bertujuan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Untuk mendapatkan sesuatu maklumat kebiasaanya menggunakan ayat tanya. Ayat tanya digunakan oleh penutur atau penulis untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan terperinci mengenai sesuatu topik yang dibincangkan. Contohnya:
Berdasarkan contoh ayat di atas, ayat tanya digunakan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Sebagai contoh ayat (a) Apakah nama pelajar sekolah tersebut? penutur atau penulis menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat berkaitan nama pelajar sekolah yang ditujunya.
Selain itu, contoh ayat yang kedua pula ialah (b) Bilakah Amir akan pergi ke sana?. Contoh ayat ini ditulis atau dituturkan untuk mendapatkan maklumat tentang waktu Amir akan ke sesuatu tempat. Fokus maklumat yang ingin diketahui ialah waktu perjalanan Amir.
Contoh ayat yang terakhir ialah (c) Bagaimanakah Tasik Ladam terbentuk? Contoh ayat ini menunjukkan bahawa maklumat yang ingin diperoleh ialah tentang cara Tasik Ladam terbentuk.
Kesimpulannya, berdasarkan penjelasan di atas membuktikan bahawa wacana juga bertujuan mendapatkan sesuatu maklumat tentang sesuatu perkara.
Menyampaikan maklumat
Wacana berfungsi untuk menyampaikan maklumat. Kebiasaannya, wacana yang terhasil ialah dalam bentuk ayat penyata. Penutur dan penulis akan menggunakan ayat penyata bagi mengungkapkan maksud dengan membuat satu pernyataan serta mempunyai tujuan untuk mengatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu perkara. Ayat penyata juga dikenali sebagai ayat keterangan. Contoh ayat adalah seperti berikut:
Contoh ayat (a), Ayah pulang dari masjid, menunjukkan bahawa penulis atau penutur menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan maklumat bahawa ayah telah pulang dari masjid. Ayat (b), Ibu menggoreng ikan di dapur, pula memberi maklumat bahawa ibu sedang melakukan aktiviti menggoreng di dapur. Berdasarkan contoh tersebut, penulis dan penutur menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan maklumat ataupun sesuatu perkara kepada pembaca mahupun pendengar.
Menjadikan sesuatu tindakan berlaku
Tujuan wacana yang seterusnya adalah bagi menjadikan sesuatu tindakan berlaku. Biasanya menggunakan ayat perintah. Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan dengan tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah terbahagi kepada empat iaitu ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan, dan ayat permintaan.
Ayat suruhan ialah ayat yang diucapkan dengan memberi perintah atau arahan, manakala ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan dan usah. Perkataan ini biasanya hadir sebelum kata kerja dengan tujuan menghalang seseorang untuk melakukan sesuatu perkara. Ayat silaan pula merujuk kepada ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila dan jemput. Ia juga perlu hadir sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Akhir sekali, ayat permintaan merupakan ayat yang menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong dengan tujuan untuk memohon permintaan dan pertolongan.
Memeriksa teks
Menurut Henry Guntur Tarigan (1995:77) dalam Mohd Rashid Md Idris (2018), tujuan wacana adalah untuk memeriksa teks serta berupaya menjadikan teori wacana sebagai pegangan umum. Antara tujuan memeriksa teks adalah untuk memudahkan penutur atau penulis memahami serta memanfaatkan teks atau kelompok teks. Pemeriksaan teks dapat menghasilkan sesebuah wacana berdasarkan idea topiknya. Selain itu, memeriksa teks juga bertujuan untuk memudahkan penulis membuat perbandingan antara teks-teks atau bahagian-bahagian teks.
Comments
Post a Comment